Blogger Backgrounds

Informasi untuk Wanita

Pelbagai panduan, petua, resipi dan info untuk dikongsi bersama-sama anda.

Friday, December 7, 2012

Betik penuh DENGAN KHASIAT

Betik sangat berkhasiat jika dimakan. Betik yang sudah masak mengandungi 85% lembapan, 14% karbohidrat, 7.7% gula, 19, 6 dan 61 miligram per 100 gram kalsium, fosforus dan vitamin C. Sebenarnya setiap bahagian pokok betik dikatakan mempunyai kegunaan mereka tersendiri.

 Buah betik mempunyai pelbagai khasiat. Enzim papain yang terdapat di dalam buah betik dikatakan dapat menolong dalam proses pencernaan protein sekaligus mengurangkan kandungan asid di dalam badan anda. Bagi anda yang mempunyai rasa senak disebabkan angin yang terkumpul di dalam usus, eloklah anda mencuba untuk memakan buah ini untuk menghilangkan angin di dalam badan.

Bagi mereka yang mengalami masalah berkaitan dengan masalah kulit seperti jerawat, masalah kedutan di muka, psoriasis dan eczema, buah betik ini dapat membersihkan dan memecahkan sel-sel mati di kulit anda. Caranya mudah sahaja. Apa yang perlu anda lakukan ialah menghancurkan buah betik tersebut kemudian tampalkan ia di tempat yang bermasalah setengah jam sebelum anda mandi.

Bagi wanita yang mengalami masalah haid, dikatakan dengan memakan buah betik, ia dapat melancarkan haid anda. Bagi anda mengalami masalah cirit-birit, rebusan air buah betik dikatakan dapat menyembuhkan penyakit tersebut. Dikatakan juga apabila memakan buah betik pada waktu petang dapat menyembuhkan penyakit buasir. Selain itu dengan memakan buah betik ketika sarapan boleh memudahkan proses penghadaman dan memudahkan anda untuk membuang air besar.

Bagi pesakit tekanan darah tinggi pula anda juga boleh memakan buah betik setengah jam sebelum sarapan untuk memeriksa tekanan darah anda.

Bagi ibu-ibu yang menyusukan anak yang ingin menambahkan susu badan, apa kata anda memakan buah betik. Ini adalah kerana memakan betik setiap hari dapat memperbaiki asid laktik yang terdapat di dalam susu badan anda.

Daun betik terutamanya pucuknya yang muda sering direbus untuk dijadikan ulam oleh penggemar ulam-ulaman. Namun begitu selain dijadikan ulam, daun betik juga mempunyai khasiatnya tersendiri. Dikatakan sebelum adanya sabun, daun betik adalah alternatif terbaik sebagai bahan pencuci.

Bagi mereka yang menghidap demam, daun betik dapat digunakan untuk menyembuhkan demam dan luka di badan. Air rebusan daun betik berupaya menghasilkan perubahan bentuk badan yang sangat menakjubkan, langsing dan cantik. Meminum air daun betik juga dapat melegakan perut dengan mengeluarkan segala angin yang ada di dalamnya.

Jika anda memanggang daging yang dibalut dengan daun betik, ia dapat melembutkan daging tersebut.

Biji betik berwarna hitam atau kelabu dan ia diselaputi lendir. Kita boleh melihatnya melekat di dinding ruang tengah buah. Apabila memakan buah betik kita akan membuang bijinya. Namun, sebenarnya biji betik juga mempunyai kegunaannya. Dikatakan biji betik juga dapat digunakan jika seseorang mengalami proses pencernaan tidak sempurna, masalah haid dan buasir. Ini semua adalah disebabkan enzim papain yang terdapat di dalamnya.

Jarang kita mendengar akar pokok betik boleh digunakan dalam perubatan. Namun begitu sebenarnya dikatakan akar pokok betik juga dapat digunakan dalam merawat seseorang yang mengalami pendarahan dan kencing tidak sempurna.

Yang pasti pokok betik terutamanya buah, daun dan akarnya mempunyai khasiat dan kegunaan yang pelbagai untuk kegunaan manusia.

(Sumber: Majalah Mingguan Wanita)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...